Sunday, March 7, 2010

BELASUNGKAWA.

Maaf aku tunda lagi entri yang sepatutnya aku buat. Entri kali ni jugak berunsur serius. Mungkin kerna aku tidak tidur semalaman. Jadi aku perlu menaip dengan berhati-hati untuk mengelakkan typo.

Pada jam 1.30 pagi waktu Malaysia, perginya seorang insan bernama Prof. Wahyudi Martono menemui Pencipta kita yakni Allah s.w.t.

------------------------------------------------------------------------

Sebelumnya...

Pada 2.25am, aku menerima khidmat pesanan ringkas dari Nono.

"Salam. Dr. Wahyudi has passed away.."

Lima patah perkataan itu sudah cukup membuatkan aku terduduk dan terkesima selama seminit. Kemudian aku cepat-cepat menelefon Nono untuk mengesahkan berita tersebut. Baru saja mengakhiri perbualan, aku menangis sedang otak aku ligat memutar kenangan bersama arwah.

Aku segera menyeka air mata. Bimbang dikatakan aku seperti tidak redha arwah telah pergi. Kemudian aku menghantar berita tersebut kepada semua rakan-rakan ku termasuk yang pernah menjadi pelajar beliau.


-------------------------------------------------------------------


Selepas beberapa ketika menunggu, Nono mengajak aku pergi ke PUSRAWI untuk menziarah. Perjalanan kami kemudiannya menuju ke Surau HKL kerana jenazah beliau akan dimandikan, dikafankan dan disembahyangkan seusai Solat Subuh di Surau HKL. Agenda nya selesai solat jenazah, jenazah akan diterbangkan ke Indonesia dan dikebumikan di sana.

Pemergian beliau diiringi kepiluan seorang bapa, diratapi dengan esak tangis sang isteri tercinta, ibu yang dikasihi juga mahasiswa dan mahasiswi beliau. Namun suara sang rakan menasihati..

"Kepada ibu bapa Pak Wahyudi dan juga kepada istri nya, usahlah ditangisi pemergian beliau. Kita harus redha melepaskan dia pergi. Sesungguhnya kita juga akan mengalaminya satu hari nanti."

Sejurus mendengarkan kata-kata itu, sang istri lantas beristighfar menyedari hakikat suami tercinta menemui Yang Maha Esa. Sambung sang rakan lagi..

"Saya mewakili kaum keluarga Pak Wahyudi agar diampunkan segala salah silap beliau. Sedang kita 'curhat', beliau juga redha untuk menemui Allah. Mohan doa agar beliau tenang menghadap Nya."

Disambut serentak oleh jemaah yang hadir..

"Amin..."

Di akhir pertemuan itu, kami bersalaman dan berpelukan dengan sang istri. Dari raut wajahnya yang tenang, kami menangkap dia juga luluh hati nya. Kini dia tinggal seorang diri bersama dua insan kecil yang belum mengerti apa-apa. Kala aku mencium tangan Aunty Winda dan memeluknya, dia sempat berbisik pada aku..

"Mohon doa nya agar aku lebih tabah ya?"

Aku terus memandang wajah Aunty Winda yang diulasi sebuah senyuman yang aku sangat pasti menyembunyikan kesedihan yang menggunung. Aku seikhlasnya menjawap..

"Insha Allah."

Sementelahan kami pulang, kaum keluarga arwah menunggu detik keberangkatan pulang membawa sekujur jasad ke kampung halaman di Indonesia pada petang nanti.


------------------------------------------------------------------------


Sayu terpisah
hikayat indah kini hanya tinggal sejarah
berhembus angin rindu
begitu nyamannya terhidu wangian kasihmu
hujan lebat mencurah kini
bagaikan tiada henti
kaulah laguku kau irama terindah
tak lagi kudengari
kau pergi.. pergi..
sepi tanpa kata
terdiam dan kaku tak daya kau kulupa
apa pun kata mereka
biarkan kenangan berbunga di ranting usia..


Tidak keterlaluan jika aku memanggil arwah sebagai LAGENDA. Seorang yang begitu rendah diri namun mempunyai ketegasan disebalik sindiran tajam nya. Satu-satunya 'lecturer' yang layak dipanggil 'CIKGU'. Bukan ingin memuji melambung-lambung tetapi ini hakikat yang setiap inci dari peribadi beliau tidak ada satu pun sikap bermegah atas kemenangan yang beliau perolehi melalui 'research' nya.

Dua semester bergelar Head of Department untuk major Mechatronics sedikit pun tidak mengikis sikap sempoi atau 'sense of humor' beliau. Kala meratapi pemergian nya, kami masing-masing mengeluarkan semula kata-kata beliau yang sentiasa kami ingat..

"Yaa Kereta juga MPV.." (arwah melawak dengan slogan yang hampir hilang motip ujar nya)

"Everything is Money, but Money is Not Everything" (kami suka sangat statement ni)

Ini pula jawapan beliau tatkala aku menanya soalan bodoh yang budak 10 tahun bisa menjawap..

"Sir, what is your email?"

"That's so easy. Go to GOOGLE.COM and search for WAHYUDI MARTONO. Then you can find my result is in the first place." (sambil itu beliau tersenyum mengenakan aku)

Juga beliau memperkenalkan blog beliau..

"I click to my blog each and everytime I'm surfing so it can increase the visitor's counter."

Jika dikenang kembali bait-bait dialog ini, sungguh manis walaupun pedas di telinga. Sungguh hanya beliau saja yang mampu bergurau sedemikian dengan mahasiswa dan mahasiswi. Selepas ini kami mungkin hanya mendapat pengganti yang baru, dan kami mengharapkan pengganti beliau akan mampu membimbing kami menghadapi final exam yang akan berlangsung tidak sampai tiga minggu lagi.

Kami tidak mampu mengharapkan pengganti yang sama seperti beliau kerna walau pepatah mengatakan "Patah tumbuh Hilang berganti" namun tidak akan sama seperti yang telah pergi.

Mengenangkan kami akan pergi ke kelas MSD pada hari Selasa ini, yang sepatutnya menanti sosok tubuh seorang yang bernama Prof Wahyudi Martono, namun tidak lagi akan muncul, dan ini sudah cukup membuatkan hati kami luluh kembali. Merenung ke hadapan papan putih menunggu beliau sambil membawa gajet SONY kesayangan nya. Ohh sungguh rindu.

Kami juga mendapat berita bahawa beliau baru saja menerima status "Professor" lebih kurang dua minggu yang lepas. Namun apakan daya, MATI ITU PASTI. Kami redha atas pemergian mu. Moga Allah mencucuri rahmat ke atas roh mu. Kami mohon juga agar roh mu ditempatkan di kalangan orang-orang yang soleh. Amin.

Al-Fatihah buat arwah Prof. Wahyudi Martono.

Walau jasad mu dimamah bumi, namun kenangan bersama mu tidak akan kami lupa. Sekalung terima kasih kami hadiahkan buat mu CIKGU. Ilmu yang kau curahkan tidak akan sedikit pun kami abaikan. Walau hanya bersama beberapa ketika, namun kau mengajar kami erti hidup seolah-olah sudah seribu tahun kau bersama kami.

Terkilan sedikit kerna tidak berkesempatan meluahkan semua ini ketika hayat mu masih ada. Namun sesalan ini kami akan gantikan dengan usaha setinggi langit untuk bergelar GRADUAN pada tahun ini. Insha Allah.


Wassalam.

2 comments:

Faizal n Fashitah said...

Innalillah Hi Wa Innailaihi Roji'un...

Semoga roh beliau di cucuri rahmat n ditempatkan dikalangan orang beriman.. Amin.

hannaH said...

FnF..Amin..terasa kehilangan paling besar.